"SAYANG KUMBANG MENCARI MAKAN, TERBANG SEIRING DI TEPI KALI, SELAMAT DATANG KAMI UCAPKAN, MOGA DIIRINGI RESTU ILAHI."

Tuesday, 10 October 2017



 PERANAN DIKSI DAN JENIS AYAT


Apa Itu Diksi????

- Diksi merupakan salah satu istilah yang digunakan dalam karya sastera atau penulisan.
- Istilah diksi merujuk kepada pelbagai makna atau ayat ada di dalam karya sastera atau sesuatu penulisan.
- Penggunaan diksi biasanya dilakukan untuk membuat sesuatu karya sastera menjadi lebih baik, menarik, mudah difahami dan sesuai apa yang digambarkan oleh penulis.

Jenis-Jenis Diksi???

1. Sinonim  - memiliki persamaan makna
                  - dipilih kerana untuk memberikan kesan yang lebih baik dan halus
                  - contoh: mati - wafat

2. Antonim   - maknanya berlawanan dengan perkataan lain
                   - contoh : cantik – buruk, sihat – sakit  

3. Polisemi   - perkataan yang mempunyai makna lebih dari satu.
                   - contoh : bunga, mentah

4. Hiponim   - perkataan yang maknanya sudah meliputi makna kata lainnya.
                   - contoh : kenderaan (kereta, motosikal, van, kapal terbang)

5. Homonim   - perkataan yang ejaan  dan sebutan yang sama tetapi makna berbeza.
                     - contoh : daki - mendaki bukit
                                             - daki yang melekat pada badan

6. Homofon   - perkataan yang sebutan sama tetapi ejaan dan makan yang berbeza.
                    - contoh : massa dan masa

7. Homograf   - perkataan yang sama ejaan tetapi sebutan dan makna yang berbeza.
                     - contoh : semak – belukar
                                   : semak – meneliti atau memeriksa sesuatu

8. Meronim   - perkataan-perkataan yang menunjukkan sebahagian daripadanya.
                    - contoh : kusyen, tayar, enjin, lampu adalah meronim kepada kereta

Apa Makna Diksi???
Terbahagi kepada dua:
1.      Makna Denotasi
-          Makna tersurat dan dikenali sebagai makna kamus, makna kognitif, makna rujukan dan makna konseptual
-          Contoh : Ayam Tambatan bermaksud ayam yang ditambat atau diikat menggunakan tali
2.      Makna Konotasi
-          Makna tambahan atau makna tersirat dan istilah lainuntuk konotasi ialah emotif atau makna evaluatif

-          Contoh : Ayam Tambatan bermaksud  orang harapan atau penting di dalam satu kumpulan atau pasukan.



Kita sedia maklum bahawa di dalam bahasa Melayu, terdapat pelbagai jenis ayat. 
Oleh sebab itu, jika kita membaca buku, majalah atau surat khabar penulis akan 
menggunakan pelbagai jenis ayat bagi menarik perhatian para pembaca.
Jenis-jenis ayat bahasa Melayu dapat digolongkan kepada empat ragam:
1)    Ayat penyata
2)    Ayat perintah
3)    Ayat tanya
4)    Ayat seru

1.    Ayat Penyata
Ayat penyata merupakan ayat bagi menyatakan sesuatu. Disebut juga ayat
berita atau ayat pernyataan.
Contoh:
Itu bangunan Wisma Darul Iman.
Saya tidak tahu dari mana dia datang.

2.    Ayat Perintah
Ayat perintah digunakan untuk memberikan perintah, suruhan, ajakan, 
keinginan, harapan, atau larangan untuk melakukan sesuatau. Dengan 
demikian, perintah memerlukan gerak balas yang serupa tindakan (Asmah 
Hj. Omar, 1982:370), atau untuk mengungkapkan keinginan pembicara
untuk mempengaruhi suatu peristiwa.
Contoh:
Sila jama makanan di atas meja itu.
Walau bagaimanapun, ayat perintah ini boleh dibahagikan lagi kepada 
beberapa jenis,iaitu

a)    Ayat suruhan
Ayat suruhan dapat dianggap sebagai ayat perintah biasa. Ayat ini juga 
mengkehendaki lawan bicara berbuat sesuatu.
Contoh:
Pergilah sekarang !

b)    Ayat silaan
Ayat silaan biasanya digunakan bagi menjemput atau mempersilakan 
seseorang. Ayat silaan ini ditandai kata silaan seperti sila dan jemput 
sebelum kata kerja. Selain itu, kata silaan juga kerap kali menerima 
partikel - lah atau akhiran - kan bagi menghaluskan perintah itu.
Contoh:
Silalah masuk.

c)    Ayat ajakan
Ayat ini digunakan untuk mengajak, menjemput atau mempersilakan 
seseorang malah, ayat jenis ini dibentuk dengan menambahkan kata 
mari dan ayuh di depan ayat. Ganti diri nama diri kita sering digunakan
beriringan dengan kata ajakan.
Contoh:
Marilah kita pergi sekarang.

d)    Ayat larangan
Ayat larangan merupakan ayat yang digunakan untuk menyatakan
larangan. Ayat ini mengkehendaki lawan bicara agar jangan melakukan 
sesuatu dan dibentuk juga dengan menambahkan kata jangan, usah atau 
tak usah di depan ayat perintah. Kerap kali juga menggunakan partikel - 
lah.
Contoh:
Tak usahlah pergi.
Jangan bising.

e)    Ayat permintaan
Bagi ayat ini pula, sering digunakan oleh pembicara demi 
kepentingannya, meminta lawan bicara berbuat sesuatu. Ayat 
permintaan ini menggunakan kata permintaan seperti tolong, 
mohon dan minta.
Contoh:
Tolong panggil orang itu.
Mohon kerjasama semua.
Minta, perhatian semua.

3.    Ayat Tanya
Ayat tanya ialah ayat yang digunakan untuk meminta maklumat atau untuk 
mendapatkan jawatan. Jawapan daripada sesuatu pertanyaan bukan sahaja 
boleh dinyatakan dengan mengiyakan atau menidakkan bahkan ia juga boleh 
dalam bentuk penjelasan. Ayat tanya kebiasaannya akan diakhiri dengan 
tanda tanya (?) dan memberi intonasi naik dalam lisan atau tanda soal pada 
akhir ayat. Ayat ini juga boleh diakhiri dengan partikel - kah.
Contoh:
Dia ada di rumah.
Dia ada di rumah ?
Siapakah yang datang ?

Di bawah ayat tanya ini boleh dibahagikan lagi kepada tiga jenis iaitu
a.     Ayat tanya tertutup
b.    Ayat tanya terbuka
c.     Ayat tanya retorik/ tempelan

a.      Ayat tanya tertutup
Ayat jenis ini merupakan ayat tanya yang dapat dijawab dengan 
perkataan ya atau tidak/bukan malah boleh menambahkan dengan 
menaikkan intonasi pada akhir ayat tanya.
Contoh:
Adakah air itu panas ?
Ya, air itu panas.

b.      Ayat tanya terbuka
Ayat tanya terbuka mengkehendaki jawapan yang berupa penjelasan 
ataupun penerangan. Menurut Nik Safiah Karim  (1993:427) ayat tanya 
jenis ini ialah ayat tanya yang jawapannya tidak terhad kepada perkataan 
ya, bukan atau tidak tetapi bergantung pada maksud yang terdapatdalam 
ayat tanya tersebut. Selain itu, ayat tanya jenis ini juga sering adanya 
kata seperti apa, bagaimana, berapa, bila, siapa, mana, kenapa dan 
sebagainya. Partikel - kah boleh disertai dalam ayat ini.
Contoh:
Ali membeli apa ?
Bagaimanakah dia datang ?

c.      Ayat tanya retorik atau tempelan
Ayat tanya retorik atau tempelan tidak memerlukan jawapan, tetapi 
hanya mengkehendaki penegasan daripada orang yang diajak berbicara. 
Ayat ini digunakan apabila penanya ingin memastikan jawapan yang 
sebenarnya sudah diketahuinya. Penambahan pada kata bukan atau 
tidak boleh diletakkan pada akhir ayat dan didahului oleh tanda koma.
Contoh:
Dia anak Abu, bukan ?
Tidakkah Amira datang ?

4.    Ayat seru
Ayat seru biasanya digunakan bagi menyatakan perasaan yang kuat seperti 
rasa kagum, marah, sakit atau rasa hairan terhadap sesuatu. Ayat ini tidak 
memerlukan lawan bicara kerana ianya memang tidak ditujukan kepada
sesiapa pun. Dalam tulisan pula, ayat jenis ini akan ditandai oleh tanda seru 
(!) yang diletakkan pada akhir ayat dan boleh didahului dalam bentuk ujaran 
seperti eh, cis, wah, aduh, amboi dan sebagainya. Dalam tulisan juga, kata 
seru ini lazimnya diletakkan di awal ayat dan selepas kata seru tersebut 
digunakan tanda koma.
Contoh:
Mak cik !
Aduh, sakitnya !

Selain empat jenis ayat itu, terdapat juga ayat-ayat jenis lain yang tidak 
disebut, iaitu
a.     Ayat positif atau ayat isbat
b.    Ayat nafi
c.     Ayat minimal
d.    Ayat penegas

a.     Ayat positif atau ayat isbat
Bagi ayat positif atau ayat isbat ialah ayat yang mengungkapkan 
sesuatu maklumat dalam bentuk positif dan tidak ada langsung 
penggunaan kata negatif. Kebiasaannya, dalam ayat 
ini, sering menggunakan “ya”. Selain itu turut juga menggunakan kata
kata seperti ya, 
benar, betul, sungguh, partikel-lah dan sebagainya.
Contoh:
Ya, Malaysia negara Islam.

b.    Ayat nafi
Ayat ini fungsinya untuk menyangkal atau mengingkari sesuatu.
Contoh:
Aina bukan orang miskin.

c.     Ayat minimal
Ayat minimal ini bermaksud ayat yang tidak terbatas pada rentetan
kata yang menyatakan fikiran yang lengkap kerana ayat juga terdiri
daripada satu kata, asalkan mesti didahului oleh kesenyapan dan
diakhiri dengan kesenyapan juga. Malahan, jika perkataan itu diberi 
intonasi yang terntentu akan menjadi ayat.
Contoh:
Siapa ?
Abu.

d.    Ayat penegas
Ayat ini pula menerangkan bahawa predikat sesuatu ayat dapat
ditegaskan dengan kata ada, adalah dan ialah. Jadi, maksud yang 
ingin disampaikan itu perlulah ditegaskan dengan menggunakan kata 
penegas.
Contoh:
Budak itu ada datang ke sekolah.
Kuala Terengganu adalah ibu negeri Terengganu.

No comments:

Post a Comment