PEMERENGGANAN YANG BERKESAN
Pemerengganan adalah usaha bagaimana cara menghasilkan bentuk sesebuah
karangan yang mantap melalui binaan perenggan yang teratur dan sempurna. Pemerengganan
yang sempurna terhasil apabila struktur atau bahagian-bahagian yang lengkap
dalam perenggan ada pada karangan atau penulisan yang dihasilkan. Perenggan
ialah binaan bahasa yang terhasil daripada sekumpulan perkataan yang membina
pelbagai jenis ayat untuk menyampaikan satu idea utama secara berkesan.
Karangan
yang baik perlu melalui tiga proses dalam pembinaan sesebuah karangan. Tahap yang
pertama ialah tahap persediaan di mana penulis perlu mengetahuai kriteria yang perlu
ada dalam sesebuah karangan yang ingin ditulis. Pada tahap ini, penulis
perlulah menentukan bidang, skop ataupun tajuk yang bersesuaian dengan karangan
yang ingin ditulis. Malah, penulis perlu menetapkan sasaran kepada siapa
penulisan itu disampaikan kerana ia menjadi satu wadah dalam menyampaikan penulisan
ini melalui media misalnya bahan bercetak ataupun media elektronik. Apabila penulis
sudah mengumpul dan mendokumentasikan bahan atau maklumat yang diperoleh,
penulis bolehlah beralih ke tahap yang seterusnya kerana idea-idea sudah
dikumpul.
Seterusnya,
pada tahap kedua iaitu, tahap penyusunan. Dalam tahap ini, penulis perlu
menyediakan rangka karangan supaya idea yang ingin disampaikan tidak lari
daripada tajuk yang ditulis. Rangka karangan yang lengkap mestilah mempunyai
pendahuluan, isi-isi penting dan penutup. Perenggan pertama ialah pendahuluan
yang berfungsi bagi menjelaskan sesuatu tajuk iaitu dari segi makna atau tujuan
yang ingin disampaikan dalam penulisan. Pendahuluan juga boleh memberikan
gambaran tentang konteks penulisan ataupun menegaskan pendirian atau pendapat
penulis tentang isu yang terkandung dalam tajuk. Malah, ia juga mampu
merangsang minat, rasa ingin tahu dan emosi para pembaca.
Pada
bahagian isi pula, ia digunakan untuk menyampaikan idea. Penyampaian idea
tersebut hendaklah jelas, padat dan mutakhir supaya dapat difahami dan diterima
oleh pembaca. Keberkesanan perenggan isi hanya berlaku jika ayat-ayat yang
digunakan saling menyokong dan berpusat pada idea utama yang tertulis
berdasarkan tajuk.
Pada
bahagian yang terakhir iaitu perenggan penutup mestilah berfungsi untuk
mengakhiri penyampaian idea. Ini bermakna, penulis telah selesai menyampaikan
ideanya kepada pembaca. Sebelum berpisah dengan pembaca, penulis menggunakan
perenggan penutup sebagai senjata atau strategi terakhir untuk meninggalkan
kesan tertentu supaya mampu mempengaruhi fikiran, emosi dan pendirian pembaca. Malahan,
penulis juga boleh menyatakan ringkasan, rumusan, keputusan, penegasan, imbasan,
bandingan, amaran, harapan, ramalan, kesan dan cadangan dalam mengakhiri
penulisan.
Tahap
yang terakhir, ialah tahap penyemakan. Tahap ini sangat penting kerana penulis
perlu menyemak semula penulisan yang dihasilkan itu dari aspek isi seperti
penambahan idea ataupun idea yang kurang tepat. Penulis juga perlu menyemak
dari aspek bahasa iaitu dari segi ejaan, tanda baca dan lain-lain serta
keseluruhan format karangan yang dihasilkan.
No comments:
Post a Comment